Kelas Nadi Mahir Pertanian Pintar (Pengurusan Kawalan Serangga Perosak)

6 Ogos 2026 | Aktiviti Terkini

Pada 5 Ogos 2026, telah berlangsung Kelas NADI Mahir Pertanian Pintar secara atas talian di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Surau. Program pembelajaran sepanjang hayat ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah mengenal pasti, mengurus dan mengawal serangga perosak serta penyakit yang boleh menjejaskan pertumbuhan dan hasil tanaman.

Kursus NADI Mahir Pertanian Pintar pada minggu ini adalah Minggu 4, iaitu Pengurusan Kawalan Serangga Perosak. Peserta diperkenalkan kepada pendekatan pertanian pintar dalam menangani serangga perosak melalui kaedah yang lebih mampan dan berkesan. Pengurusan ini bukan sahaja melibatkan kawalan kimia, malah merangkumi kawalan biologi, penggunaan perangkap serta pemantauan bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.Selain itu, peserta turut didedahkan kepada pelbagai jenis serangga perosak seperti kumbang labu, lalat buah, kutu trip, hama merah, pelombong daun, lalat putih dan afid. Peserta mempelajari simptom serangan, bahagian tanaman yang terjejas serta kaedah kawalan yang bersesuaian. Modul turut menerangkan mengenai penyakit tanaman yang berpunca daripada kulat, bakteria, virus dan nematod serta langkah pencegahan bagi mengurangkan kejadian dan penyebaran penyakit.Antara aspek penting yang diberikan perhatian ialah penjagaan kebersihan kawasan tanaman, kawalan kelembapan, penggunaan bahan tanaman yang sihat, pengawalan serangga pembawa penyakit serta pemusnahan tanaman yang telah dijangkiti. Langkah pengurusan yang betul dapat membantu memastikan tanaman tumbuh dengan lebih sihat dan menghasilkan produktiviti yang lebih baik.

Dengan adanya program pembelajaran sepanjang hayat ini, ia dapat mempromosikan NADI kepada masyarakat sebagai pusat komuniti yang mempunyai kepelbagaian fungsi selain sebagai pusat pembelajaran. Program ini juga dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran komuniti dalam bidang pertanian pintar, khususnya dalam pengurusan serangga perosak dan penyakit tanaman bagi menghasilkan pertanian yang lebih produktif, mampan dan mesra alam.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

Kembali Ke Atas

kembali